Tuesday, July 1, 2014

Catatan 1/7/2014

Assalamualaikum...

Bila jari-jemari menaip setiap abjad dari papan kekunci, bererti hati ini mula menarikan irama yang kadang-kala kedengaran gembira. Kadang-kala penuh rasa suka. Tidak terlepas rasa pahit, benci dan kecewa. Seringkali juga terdengar esak tangisan dalam rasa keinsafan. Ah, pandai betul hati ini menarikan irama. Hakikatnya, masih banyak rahsia yang tersimpan. Terpendam hingga terasa sakit akibat kelukaan. 

Hari ini, jari dan otak aku berkerjasama umpama isi dan kulit. Tiada bertelagah. Menyusun perkataan demi perkataan dalam membentuk ayat yang sesuai dipamerkan untuk pembacaan kalian. Biarlah manis bila disebut. Biar kalian dapat merasa setiap bait-bait yang ditaip. Biar ianya meresap ke hati. Nampak sangat hati ini merasa kecewa. Sudah sepurnama aku menyajikan kisah-kisah kekecewaan, kepahitan dan kedukaan dalam kehidupanku. Aku bukan mahu merungut. Hanya sekadar meluahkan. Biarlah mereka tidak tahu. Cukup sekadar melempiaskan rasa kecewa ini dari terus menyesakkan perasaan aku.

Hari ini, ayat aku umpama pungguk merindukan bulan. Melagukan irama merdu, mungkin juga sayu menantikan bulan menampakkan wajahnya. Ayat aku seumpama bersastera. Perasaan aku barangkali. Mana mungkin gadis biasa seperti aku bisa bersastera. Kata-kataku biasanya kasar. Perlakuan tidak ubah seperti orang kampung. Ah, aku memang perempuan kampung. Tapi aku bukanlah perempuan kampung kolot yang mampu mereka momokkan dengan kekerasan mereka. Raut wajah yang aku pamerkan seringkali dingin. Tiada senyuman yang mewarnai bibirku. Hanya rengusan yang perlahan keluar pabila rasa tidak puas hati. Senyuman yang kadang-kala terbit dari bibirku, hanyalah penipuan. Ianya sekadar menyenangkan hati mereka, menyimpan seribu perasaan duka. Kalau benar mereka kenal siapa aku, silakan bercerita. Aku sedia mendengarnya.

Kecewa? Ayat ini diulang-ulang tanpa jemu. Kalau benar, kehadiran diri ini tak diperlukan, nyatakan dengan lantang. Usah disindir. Usah memprovok. Aku sendiri faham dengan kata-kata itu. Aku sendiri faham dengan bahasa tubuh itu. Kalau benar mencurigai, nyatakan yang sebenarnya. Biar diri tak merasa terganggu dengan suara-suara jahat. Ah, mulut mereka memang jahat. Seringkali membuat hati menjadi luka. Dicanang-canang keburukan orang, walhal hati yang membusuk tidak diperdulikan. Aku juga sudah terikut dengan caranya. Moga dijauhkan. Biarlah telinga mendengar tetapi hati menidakkan.

Hari ini, sekali lagi. Aku diprovok. Aku semakin nekad. Terima kasih untuk segalanya. Maaf andai yang terluka. Akan ku kirimkan warkah gembira untuk mereka. Aku juga mungkin semakin jauh dari dosa dari terus dibelenggu perasaan syak wasangka. Biarlah mereka terus menadah pahala dari terus berdosa bersama akibat buruknya perasaan syak wasangka.

Sekian lama juga aku menunggu. Hari ini, aku akan pergi dari kebelengguan ini. Biar aku menapak dengan senang. Tidak perlu kehadiran mereka jika itu hanya menambah kealpaan dan kehinaan diri ini. Entah apa yang aku coretkan. Namun, biarlah ada yang mengerti. Kehidupan tidak selalu dihiasi pelangi, seringkali kesuraman malam datang meyinggah lalu menyepikan diri.


No comments: