Saturday, May 24, 2014

Coretan 24/5/2014

Assalamualaikum...

Hai.. sekarang dah tengah hari. Kerja masih banyak yang perlu disiapkan. Hari ni aku tak nak guna nama Ifa, tapi gunakan gelaran diri sendiri sebagai aku. Aku tak tahu lah samada aku yang bodoh ataupun sememangnya aku diperbodohkan. Cerita hari ni sekadar nak meluahkan rasa tidak puas hati. 

Selalunya, bila aku ditekan dengan banyak kerja aku selalu berfikiran positif. Walaupun dimarahi, disogok dengan kerja-kerja yang tak sepatutnya, aku masih sabar menyiapkan selaras dengan kemampuan aku. Aku tak pernah rasa teruk begini. Terkadang aku terkilan dengan sikap mereka yang tidak acuh dalam menyiapkan tugas. Seringkali aku merasa pedih dengan kata-kata yang keluar dari mulut mereka. Mungkin aku memang seorang yang tegas dan banyak memberi pandangan yang terbaik ketika melaksanakan kerja. Sekarang, sikap aku masih sama cuma aku sudah kurang bercakap dan memberi pandangan. Segala usul pada mulanya diterima, kemudian dibiarkan tanpa sebarang tindakan yang sepatutnya. Kemudian aku disalahkan kembali. Perlukah aku membuat tindakan sendiri tanpa kelulusan dari mereka yang sepatutnya. Bukankah ia seperti aku yang melawan tuan tanah?

Sekarang, aku sering diprovok dengan kata-kata. Mungkin aku pernah melafazkan, andai mendapat tawaran yang lebih baik, aku akan meninggalkan tempat ini. Bukankah ianya hanya satu kemungkinan dan bukannya satu pengkhianatan? Andai pengkhianatan yang ingin aku berikan, tidak perlu aku menunggu hingga sekarang untuk mengangkat kaki, berlari meninggalkan semuanya dalam keadaan yang punah tanpa ada rasa simpati dan bertanggungjawab untuk menyelesaikan tugasan yang diberi. Terlalu banyak sabar dan komitmen yang aku berikan, aku dilayan seolah-olah aku yang membuat salah ingin pergi tanpa rasa sedar diri. Hei, itu bukan aku!

Tanpa kehadiranku, aku dituduh dengan tomahan kata yang menyakitkan. Aku hanya pergi untuk dua hari, seolah sebulan aku pergi meninggalkan kerja. Andai seminggu aku pergi, adakah aku dianggap hilang terus dari pandangan mata? Seringkali aku berasa tertekan dengan kerja yang aku terima, sehingga diri sendiri tak terurus. Makan dan tidur yang tak menentu, bukankah itu satu pengorbanan aku terhadap kerja yang aku terima? Terlalu banyak persoalan diminda yang tiada jawapan dari mereka. Tidak ada satu pun digarap ke hati mereka. Aku disisih seolah tiada satu kerja pun aku lakukan dengan sempurna. 

Andai aku terus pergi tanpa berkalih lagi ke belakang, adakah mereka sedar akan kehadiran aku di sana satu ketika dahulu? Adakah mereka akan berterima kasih dengan jasa baik yang aku berikan, atau aku terus disebut dengan kata cacian ataupun penghinaan? Ah, aku terlalu memikirkan hati mereka dan nasib mereka. Mengapa tidak sahaja aku mempedulikan mereka dengan mementingkan diri sendiri. Bukankah itu yang mereka mahu dari aku? Tapi itu bukan aku. Aku tetap Afifa yang sama. Afifa yang tegas dan keras percakapannya bila mahu menetapkan hujahnya. Afifa yang tidak mudah diprovok. Cerita hari ini, bukan tidak pernah berlaku pada masa dahulu. Aku hanya perlu bersabar dan membuktikan itu bukanlah aku. Entah sampai bila aku mampu bersabar. 

Setakat ini sahaja coretan dari hati aku. Tindakan aku mungkin tidak baik pada pandangan kalian. Sampai bila aku akan bertahan aku tidak tahu. Hanya kesabaran dan rasa tanggungjawab yang menghalang aku dari melangkah dari sini. Aku tak mahu kerana ungkapan dan tomahan yang aku anggap bodoh ini, buatkan aku sendiri jadi bodoh dalam membuat keputusan.

No comments: